❀ My GOjes BlOgging Friends ❀

Friday, July 16, 2010

Nilai Sebuah Tudung

Apabila wanita menjaga auratnya dari pandangan lelaki bukan muhram, bukan sahaja dia menjaga maruah dirinya, malah maruah wanita mukmin keseluruhannya. Harga diri wanita terlalu mahal. Ini kerana syariat telah menetapkan supaya wanita berpakaian longgar dengan warna yang tidak menarik (seperti hitam) serta menutup seluruh badannya dari kepala hingga kaki (kecuali muka dan tangan).

Kalau dibuat perbandingan dari segi harta dunia seperti intan dan berlian, ianya dibungkus dengan rapi dan disimpan pula di dalam peti besi yang berkunci. Begitu juga diumpamakan dengan wanita. Kerana wanita yang bermaruah tidak mempamirkan tubuh badan di khalayak umum. Mereka masih boleh tampil di hadapan masyarakat bersesuaian dengan garisan syarak. Wanita tidak sepatutnya mengorbankan maruah dan dirinya semata-mata untuk mengejar pangkat, darjat, nama, harta dan kemewahan dunia.

(Nipis, jarang, tak tutp dada)

Menyentuh berkenaan pakaian wanita, alhamdulilah sekarang telah ramai yang menjaga auratnya, sekurang-kurangnya dengan memakai tudung. Dapat kita saksikan di sana sini wanita mula memakai tudung.

Walaupun pelbagai gaya tudung diperaga dan dipakai, namun pemakaian masih tidak lengkap dan sempurna. Masih lagi menampakkan batang leher, dada dan sebagainya. Ada yang memakai tudung tetapi pada masa yang sama memakai kain belah bawah atau berseluar ketat dan sebagainya. Pelbagai warna dan pelbagai tudung turut direka untuk wanita-wanita Islam kini.

Ada rekaan tudung yang dipakai dengan songkok di dalamnya, dihias pula dengan kerongsang yang menarik. Labuci warna-warni dijahit pula di atasnya. Rekaan itu kesemuanya bukan bertujuan untuk mengelakkan fitnah, sebaliknya menambahkan fitnah ke atas wanita.

Walhal sepatutnya pakaian bagi seorang wanita mukmin itu adalah bukan sahaja menutup auratnya, malah sekaligus menutup maruahnya sebagai seorang wanita. Iaitu pakaian dan tudung yang tidak menampakkan bentuk tubuh badan wanita dan tidak berhias-hias yang mana akan menjadikan daya tarikan kepada lelaki bukan muhramnya. Sekaligus pakaian boleh melindungi wanita dari menjadi bahan gangguan lelaki yang tidak bertanggungjawab.
(Nipis, jarang, tak tutup dada)

Bilamana wanita bertudung tetapi masih berhias-hias maka terjadilah pakaian wanita Islam sekarang walaupun bertudung tetapi semakin membesarkan riak dan bangga dalam diri. Sombong semakin bertambah. Jalan mendabik dada. Terasa tudung kitalah yang paling cantik, up-to-date, sophisticated, bergaya, ada kelas dan sebagainya. Bertudung, tetapi masih ingin bergaya.

Kesimpulannya tudung yang kita pakai tidak membuahkan rasa kehambaan. Kita tidak merasakan diri ini hina, banyak berdosa dengan Tuhan mahupun dengan manusia. Kita tidak terasa bahawa menegakkan syariat dengan bertudung ini hanya satu amalan yang kecil yang mampu kita laksanakan. Kenapa hati mesti berbunga dan berbangga bila boleh memakia tudung?

Ada orang bertudung tetapi lalai atau tidak bersembahyang. Ada orang yang bertudung tapi masih lagi berkepit dan keluar dengan teman lelaki. Ada orang yang bertudung yang masih terlibat dengan pergaulan bebas. Ada yang bertudung yang masih menyentuh tangan-tangan lelaki yang bukan muhramnya. Dan bermacam-macam lagi maksiat yang dibuat oleh orang-orang bertudung termasuk kes-kes besar seperti zina, khalwat dan sebagainya.

Jadi nilai tudung sudah dicemari oleh orang-orang sebegini. Orang Islam lain yang ingin mengikuti jejak orang-orang bertudung pun tersekat melihat sikap mereka yang mencemari hukum Islam. Mereka merasakan bertudung atau menutup aurat sama sahaja dengan tidak bertudung. Lebaik baik tidak bertudung. Meraka rasa lebih bebas lagi.

(Bergetah, nampak bentuk tubuh, tak tutp dada)

Orang-orang bukan Islam pula tawar hati untuk masuk Islam kerana sikap umat Islam itu sendiri yang tidak menjaga kemulian hukum-hakam Islam. Walaupun bertudung, perangai mereka sama sahaja dengan orang-orang bukan Islam. Mereka tidak nampak perbezaan agama Islam dengan agama mereka.

Lihatlah betapa besarnya peranan tudung untuk dakwah orang lain. Selama ini kita tidak sedar diri kitalah agen bagi Islam. Kita sebenarnya pendakwah Islam. Dakwah kita bukan seperti pendakwah lain tetapi hanya melalui pakaian.

Kalau kita menutup aurat tetapi tidak terus memperbaiki diri zahir dan batin dari masa ke semasa, kitalah punca gagalnya mesej Islam untuk disampaikan. Jangan lihat orang lain. Islam itu bermula dari diri kita sendiri.
Ini tidak bermakna kalau akhlak belum jadi baik tidak boleh pakai tudung. Aurat wajib ditutup tapi pada masa yang sama, perbaikilah kesilapan diri dari masa ke semasa. Tudung di luar, tudung di dalam (hati). Buang perangai suka mengumpat, berdengki, berbangga, ego, riak dan lain-lain penyakit hati.

Walau apapun, kewajipan bertudung tidak terlepas dari tanggungjawab setiap wanita Muslim. Samaada baik atau tidak akhlak mereka, itu adalah antara mereka dengan Allah. Amat tidak wajar jika kita mengatakan si perempuan tu walaupun bertudung, namun tetap berbuat kemungkaran. Berbuat kemungkaran adalah satu dosa, manakala tidak menutup aurat dengan menutup aurat adalah satu dosa lain.

(Nipis, nampak leher)

Kalau sudah mula menutup aurat, elakkanlah diri dari suka bertengkar. Hiasi diri dengan sifat tolak-ansur. Sentiasa bermanis muka. Elakkan pergaulan bebas lelaki dan perempuan. Jangan lagi berjalan ke hulu ke hilir dengan teman lelaki. Serahkan pada Allah tentang jodoh. Memang Allah sudah tentukan jodoh masing-masing. Yakinlah pada kententuan qada' dan qadar dari Allah.

Apabila sudah menutup aurat, cuba kita tingkatkan amalan lain. Cuba jangan tinggal solat, didik diri menjadi orang yang lemah-lembut, buang sifat kasar dan sifat suka bercakap dengan suara meninggi. Buang sikap suka mengumpat, suka mengeji dan mengata orang lain. Jaga tertib sebagai seorang wanita. Jaga diri dan maruah sebagai wanita Islam. Barulah nampak Islam itu indah dan cantik kerana indah dan cantiknya akhlak yang menghiasi peribadi wanita muslimah.

Barulah orang terpkat untuk mengamalkan Islam. Dengan ini, orang bukan Islam akan mula hormat dan mengakui "Islam is really beautiful". Semuanya bila individu Islam itu sudah cantik peribadinya. Oleh itu, wahai wanita-wanita Islam sekalian kita mesti mengorak langkah sekarang sebagai agen pengembang agama melalui pakaian.
Coretan ini bukanlah untuk menghina, mengata bahkan memburukkan sesiapa. Ini adalah sebagai perkongsian ilmu dan peringatan kita bersama dalam usaha memperbaiki diri ke arah yang lebih baik dan seterunya menjadi yang terbaik. Semoga kita sentiasa berada dalam linkungan rahmat-Nya dan diberikan petunjuk jalan yang diredhai Allah.